Rina sedang menyiapkan makan malam ketika aku tiba di rumah. Aku
memegang tangannya dan berkata, “ Abang ada sesuatu nak beritahu”. Dia
membisu dan dapat ku lihat keresahan di matanya.
Tiba-tiba
lidahku kelu. Tapi aku nekad untuk memberitahunya. “Abang rasa kita
sudah tidak serasi lagi. Kita cerai?”.Akhirnya, terlepas jua beban di
dada. Tapi ku lihat Rina tenang dan dia hanya bertanya dengan lembut.
“Mengapa bang? Apa salah saya?”. Giliran aku membisu dan ini menimbulkan
kemarahan Rina. Air matanya mula menitis. Aku tahu dia mahukan jawapan
tapi aku tiada jawapannya. Yang ku tahu, hatiku kini milik Tasya.
Cintaku bukan pada Rina lagi.
Aku katakanya padanya yang dia
boleh ambil rumah dan kereta apabila kami bercerai. Rina merenung
wajahku.Pandangannya kosong. 10 tahun kami berkahwin tetapi malam ni
kami umpama orang asing. Aku kasihankannya tetapi untuk berpatah balik
tidak sesekali. Aku cintakan Tasya. Air matanya yang sekian tadi
bertakung mula mengalir deras. Sudah ku jangka. Malah aku lega
melihatnya menangis. Niatku untuk bercerai semakin jelas dan nyata.
Keesokannya,
Rina mengatakan dia tidak mahu apa-apa dari penceraian kami melainkan
tempoh 1 bulan. Dia meminta bahawa dalam satu bulan itu kami teruskan
rutin harian kami seperti biasa sebagai suami isteri. Alasannya, anak
kami bakal menduduki peperiksaan dalam masa sebulan lagi dan dia tidak
mahu anak kami terganggu dengan penceraian kami. Aku bersetuju.
Kemudian
Rina menyuruhku mengingat kembali saat aku mendukungnya ke bilik kami
pada malam pertama kami. Dia meminta untuk tempoh sebulan ini, aku
mendukungnya keluar dari bilik tidur kami ke pintu depan setiap pagi.
Pada ku memang tidak masuk akal. Tetapi aku tetap bersetuju.
Aku
memberitahu Tasya permintaan Rina. Dia ketawa dan hanya mengatakan ini
semua kerja gila. Tidak kira apa muslihat Rina, dia tetap akan
diceraikan. Aku hanya diam membatu.
Semenjak aku menimbulkan isu
penceraian, kemesraan kami terus hilang. Hari pertama aku mendukungnya
keluar, aku merasa kekok. Rina juga. Anak kami bertepuk tangan di
belakang sambil ketawa dan berkata, “Ayah dukung ibu ya”. Kata-katanya
amat menyentuh hatiku. Mata Rina bergenang dan dengan lembut dia
memberitahuku agar jangan sampai anak kami tahu yang kami akan bercerai.
Aku mengangguk setuju. Aku menurunkannya di muka pintu. Dan kami
memandu berasingan ke tempat kerja.
Masuk hari kedua, hilang
sedikit rasa kekok. Rina bersandar di dadaku. Dapat ku cium harumannya.
Dapat ku lihat kedutan halus di wajahnya Aku sedar dia tidak muda lagi
seperti dahulu. Ternyata perkahwinan kami memberi kesan kepadanya.
Selama satu minit, aku tertanya-tanya apa yang telah aku lakukan.
Masuk
hari keempat, aku dapat rasakan keintiman kami telah kembali. Tanpa
sedar hatiku berkocak mengatakan mungkinkan cintaku masih padanya. Hari
kelima dan keenam, aku menyedari keintiman kami mula bercambah kembali.
Aku tidak memberitahu Tasya tentang perkara ini. Masuk hari-hari
seterusnya, rutin ini jadi lebih mudah malah aku nantikannya setiap
pagi.
Suatu pagi, Rina sedang memilih baju untuk dipakai. Katanya
tiada yang sesuai. Dia mengeluh. “Semua baju saya besar”. Baru ku
sedar, dia semakin kurus. Mungkin itu jugalah sebabnya aku semakin mudah
mendukungnya. Tiba-tiba terlintas di fikiranku. Mungkin Rina sedang
menyembunyikan keperitan hatinya lantaran sikapku selama ini. Tanda
sedar aku merangkul tubuhnya dan membelai rambutnya.
Kemudian,
muncul anak kami di muka pintu sambil berkata “ Ayah, cepat lah dukung
ibu keluar”. Padanya, melihat aku mendukung keluar isteriku setiap pagi
adalah rutin hariannya. Rina memanggil anak kami lalu memeluknya erat.
Ku palingkan mukaku kerana takut aku sndiri mengubah fikiran di saat
ini. Aku kemudian mendukungnya dan tangannya melingkari leherku. Tanpa
sedar, ku eratkan rangkulanku. Dapat ku rasakan badannya sangat ringan.
Hari
ini genap sebulan. Di muka pintu aku menggenggam tangannya dan berkata “
Abang tidak sedar yang selama ini kita kurang keintiman”. Aku terus
melangkah ke kereta dan terus memandu ke pejabat. Sesampainya di
pejabat, aku terus ke bilik Tasya. Sebaik pintu terbuka, aku masuk dan
aku beritahu dia “Maaf Tasya. Saya tidak akan bercerai dengan Rina.
Sekarang saya sedar saya masih cintakan dia”.
Muka Tasya berubah
merah. Tapi ku kata jua,“Maaf Tasya. Saya dan Rina tidak akan bercerai.
Perkahwinan kami membosankan mungkin kerana saya tidak menghargai apa
yang kami ada dan kongsi selama ini, bukan kerana kami tidak lagi
menyintai satu sama lain”. Tasya menjerit sekuat hati dan aku terus
melangkah keluar.
Aku kembali ke kereta dan niat hatiku mahu
pulang ke rumah dan memohon maaf dari Rina, isteriku. Aku singgah di
sebuah kedai bunga untuk membeli sejambak tulip merah kesukaan Rina. Aku
capai sekeping kad dan ku tulis, “Abang akan dukung Rina setiap pagi
hingga maut memisahkan kita”.
Setibanya di rumah, aku terus
berlari ke bilik kami dan mendapati Rina terbaring tenang di atas katil.
Ku belai wajahnya sambil memanggil namanya tapi tiada sahutan. Rina
kaku. Hatiku berdetak keras.
Kini Rina pergi untuk selamanya.
Perpisahan yang ku pinta ternyata ditunaikan. Sekian lama Rina berperang
dengan KANSER RAHIM tetapi aku begitu sibuk dengan Tasya untuk
menyedarinya. Rina tahu bahawa dia akan mati tidak lama lagi dan dia
mahu menyelamatkan aku daripada reaksi negatif dari anak kami, sekiranya
kami tetap bercerai. Rina mahu sekurang-kurangnya di mata anak kami,
aku adalah suami yang penyayang.
Perkara-perkara mudah dan
ringkas yang anda lakukan bersama adalah yang sebenarnya penting dalam
perkahwinan. Bukan banglo, kereta, harta, dan wang di bank. Semua itu
hanya wujudkan persekitaran yang kondusif untuk kebahagiaan tetapi tidak
dapat memberi kebahagiaan pada kita.
Jadi carilah masa untuk
menjadi sahabat kepada isteri/suami anda dan lakukan perkara-perkara
kecil untuk satu sama lain yang membina keintiman. Binalah kemanisan
rumah tangga anda. Hargailah setiap pengorbanan pasangan anda.